ASTANA - Nahas J2-8243 milik Azerbaijan Airlines didakwa berpunca
daripada dilanggar burung hingga mengakibatkan juruterbang hilang kawalan.
Daily Mail melaporkan insiden itu
menyebabkan juruterbang cuba melakukan pendaratan cemas, namun gagal.
Sementara itu, pihak berkuasa Kazakhstan
sedang menyiasat beberapa kemungkinan di sebalik kemalangan itu.
Menurut agensi berita Interfax, penyiasat
turut mengkaji kemungkinan kerosakan teknikal yang menjadi punca tragedi
tersebut.
"Siasatan masih dijalankan dan
butiran lanjut bakal dimaklumkan selepas lebih banyak bukti berkaitan
disemak," jelas laporan itu lagi.
Klip berdurasi dua minit dan 31 saat yang
merakamkan detik akhir pesawat membawa 67 penumpang itu terhempas turut menjadi
tular.
J2-8243 dilihat terbang secara miring
setelah juruterbang dipercayai gagal mengawal keseimbangan pesawat itu.
Ia kemudiannya menjunam lalu terbakar
seperti bebola api selepas terhempas di Aktau.
Rakaman lain yang dikongsi di media sosial
juga memaparkan keadaan serpihan bangkai pesawat tersebut di atas kawasan
berumput dan beberapa penumpang terselamat cuba menyelamatkan mangsa yang lain.
Data penjejakan penerbangan FlightRadar24.com menunjukkan pesawat itu berada pada ketinggian tidak konsisten dengan naik dan turun pada minit terakhir sebelum impak itu berlaku. - Agensi
0 Comments