Punca Messi, Neymar tinggalkan Barcelona

Punca Messi, Neymar tinggalkan Barcelona

 


Bapa Neymar mendedahkan sebab sebenar mengapa anaknya meninggalkan Barcelona untuk Paris Saint-Germain (PSG) dan ternyata keputusan itu melibatkan legenda kelab, Lionel Messi.


Penghijrahan Neymar yang memecah rekod perpindahan dunia dari Barcelona ke PSG pada tahun 2017 kekal sebagai salah satu perpindahan paling diperkatakan dalam sejarah bola sepak.


Perjanjian bernilai €222 juta itu bukan sahaja memecahkan rekod tetapi turut menandakan berakhirnya era trio serangan terhebat Barcelona iaitu ‘MSN’ yang terdiri daripada Neymar, Messi dan Luis Suarez.


Selama bertahun-tahun, alasan peribadi di sebalik keputusan Neymar untuk meninggalkan Camp Nou itu masih menjadi misteri.


Namun Neymar Sr. merasakan ini masa sesuai untuk mendedahkan faktor mengejut yang membawa kepada perpindahan besar ini.


Menurut Neymar Sr., keputusan anaknya untuk meninggalkan Barcelona bukan disebabkan oleh faktor kewangan atau ketidakpuasan hati, tetapi lebih kepada keinginan untuk mengelak daripada diberikan lebih perhatian berbanding Messi.


“Pergi ke PSG adalah keputusan dia, dia yang memutuskan untuk berubah,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.


“Pada waktu itu, kami berada dalam situasi yang sangat sukar di Barca kerana kami tidak tahu apa yang difikirkan oleh pengurusan pasukan.”


“Nampaknya kelab mahu dia menggantikan tempat Messi dan dia tidak mahu perkara itu terjadi. Dia memutuskan untuk pergi, untuk mencari tempat lain. Saya mahu anak saya kekal di Barca.”


“Hingga hari-hari terakhir, kami cuba untuk menghalang dia daripada pergi. Tetapi dia pergi kerana dia tidak mahu mengambil tempat Messi dan menjadi bintang terbesar di Barca.”


Kesetiaan Neymar terhadap Barcelona jelas kelihatan sebelum dia menyertai kelab tersebut lagi.


Bapanya juga berkongsi pandangan tentang bagaimana Neymar mengutamakan impian untuk bermain di Nou Camp dan dalam masa sama turut menolak tawaran dari Real Madrid dimana Los Blancos sanggup membayar lebih banyak kepada pemain Brazil itu.


“Menandatangani kontrak untuk Barca adalah sepenuhnya keputusan dia. Saya mempunyai tawaran dari Barca dan Madrid.”


“Tawaran dari Madrid adalah tiga kali ganda lebih tinggi. Dan dia berkata tidak, dia mahu bermain dengan mereka (Suarez dan Messi). Impiannya adalah untuk bermain di Barcelona,” tambah beliau lagi.

Post a Comment

0 Comments