Mersing: Gara-gara dendam, seorang lelaki dibunuh dan mayatnya
disembunyikan dalam but kereta sendiri yang ditemukan dalam semak di tepi jalan
di Kilometer 26 Jalan Jemaluang-Kahang di sini, 1.50 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, mayat mangsa berusia 28 tahun itu ditemukan berpakaian lengkap dengan ksan kelar di leher.
Beliau berkata, motif pembunuhan dipercayai berlaku kerana mangsa didakwa mempunyai hubungan dengan bekas isteri suspek.
"Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing mengesahkan kejadian penemuan mayat seorang lelaki warga tempatan dalam but kereta Proton Waja di dalam semak tepi jalan di lokasi kejadian.
"Bertindak atas maklumat risikan yang diperoleh, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian ini pada 4.30 pagi hari ini.
"Kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 33 hingga 35
tahun telah dibenarkan untuk ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini
untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan
membunuh.
"Susulan kejayaan tangkapan ini, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam," katanya ketika dihubungi.
Katanya, suspek cuba menutup pembunuhan itu dengan membuatkan Proton Waja berkenaan seolah-olah terbabas ke dalam semak di lokasi kejadian.
"Mayat kini berada di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan keadaan seorang lelaki yang menjumpai kereta berkenaan dalam keadaan dihurung lalat dan mendapat perhatian ramai.
0 Comments