MELAKA: Dua kanak-kanak mangsa nahas tragis melibatkan
lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara
berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh malam Isnin, masih
belum tahu lima ahli keluarga mereka telah terkorban.
Ringkasan AI
- Dua kanak-kanak yang terlibat dalam nahas di Kilometer 204
Lebuhraya PLUS arah utara masih belum diberitahu bahawa lima ahli keluarga
mereka telah terkorban. Langkah ini diambil untuk menjaga emosi mereka.
- Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, mengalami kecederaan parah di paha
kanan dan akan menjalani pembedahan, manakala adiknya Nur Sofea Humaira,
4, telah selesai menjalani pembedahan.
- Nahas tersebut melibatkan lima kenderaan dan mengorbankan tujuh
nyawa, termasuk lima sekeluarga dan dua individu lain.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri
Datuk Ngwe Hee Sem berkata meskipun keadaan mereka dilaporkan stabil, namun
tindakan itu diambil bagi memastikan emosi dua beradik itu tidak terganggu.
“Apa yang saya dimaklumkan, kedua-dua kanak-kanak itu, Muhammad Uwais
Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, Nur Sofea Humaira, 4, belum tahu ibu dan bapanya
telah tiada.
"Kita tidak mahu ganggu emosi Muhammad Uwais yang mengalami
kecederaan parah di paha kanannya apabila tulangnya pecah dan adiknya juga baru
sahaja selesai pembedahan dan pastinya masih dalam kesakitan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menziarahi dua beradik berkenaan serta empat
penumpang bas persiaran yang cedera sebelum mereka dibenarkan keluar dari
hospital, hari ini.
“Saya nak sampaikan juga ucapan terima kasih daripada mangsa terlibat,
terutamanya warga Singapura, yang berpuas hati dengan bantuan yang diberikan
sepanjang insiden itu,” tambahnya.
Mereka yang maut termasuk lima sekeluarga, Khairul Ikhwan Mazupi, 32,
bersama isteri, Fadzlenna Ramli, 32, serta anak bongsu mereka, Muhammad Umar,
2, dan ibu serta ayah Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Turut terkorban dalam nahas itu pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang bas persiaran yang juga pemandu pelancong warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.
0 Comments