GEORGE TOWN: Pada 20 tahun lepas, gempa bumi berukuran 9.1
magnitud yang melanda pantai barat Sumatera Utara, Indonesia turut mengegarkan
persisir pantai sekitar Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Pada 20 tahun lepas, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud melanda
pantai barat Sumatera Utara, Indonesia, dan menyebabkan tsunami yang turut
menjejaskan Pulau Pinang. Puluhan mangsa yang sedang mandi-manda dan
berkelah di pantai menjadi korban, termasuk di Batu Ferringhi, Balik
Pulau, dan Kuala Muda.
- Pasangan suami isteri A. Suppiah dan L. Annalmary mengalami detik
mendebarkan apabila bayi mereka, S. Thulaashi, yang baru berusia 22 hari
dihanyutkan ombak di Pantai Miami, Tanjung Bungah. Gelombang kedua tsunami
menghantar bayi tersebut kembali ke pantai dengan selamat, menjadikannya
dikenali sebagai 'Tsunami Miracle Baby'.
- Thulaashi kini berusia 20 tahun dan sedang mengikuti pengajian di
Universiti Sains Malaysia (USM). Keluarganya mengadakan upacara sembahyang
setiap tahun pada 26 Disember untuk mengenang mangsa yang terkorban dalam
tragedi tsunami tersebut.
Peristiwa itu telah menyebabkan puluhan mangsa
kebanyakan sedang mandi-manda dan berkelah di pantai termasuk di Batu Ferringhi,
Balik Pulau dan Kuala Muda turut menjadi korban.
Detik mendebarkan berkenaan kekal terpahat dalam sanubari pasangan suami
isteri A. Suppiah, 75, dan L. Annalmary, 62, apabila bayi mereka S.Thulaashi
yang ketika itu baru berusia 22 hari dihanyutkan ombak di Pantai Miami, Tanjung
Bungah.
Gelombang ombak pertama muncul sejauh 600 kilometer dari Sumatera ke
Pulau Pinang dengan kelajuan 800 kilometer sejam menghanyutkan Thulaashi yang
nyenyak tidur di atas tilam di kafe keluarganya berhampiran pantai berkenaan.
Bagaikan satu keajaiban apabila gelombang kedua seolah-olah
'menghantarnya' kembali ke pantai dengan selamat dan sejak itu, Thulaashi yang
'tidur' sepanjang kejadian menjadi tajuk utama dunia sehingga mendapat jolokan
'Tsunami Miracle Baby'.
Mengimbau detik itu, ibu Thulaashi, Annalmary berkata dia sedang
berpantang ketika kejadian dan ombak tsunami menerjah kafe yang diusahakan
bersama suaminya Suppiah.
Annalmary berkata ketika itu Thulaashi sedang tidur dalam bilik di kedai
manakala dia berada di bilik yang lain.
"Kejadian berlaku sangat pantas dan masa ombak pertama, air dalam
bilik tempat Thulaashi tidur cecah sehingga paras leher saya dan berusaha cari
dia dalam bilik itu sambil berharap dia selamat.
"Selepas 40 minit, saya dan suami masih berusaha cari bayi kami
namun gagal sehinggalah datang seorang lelaki Indonesia yang bekerja di sebuah
tapak pembinaan tidak jauh dari kafe kami beritahu bayi selamat dan berada di
atas tilam yang terdampar di pantai," katanya ketika ditemui Bernama di
kafenya di Pantai Miami di sini.
Bagi Suppiah, peristiwa tsunami tidak mungkin dapat dilupakan sehingga
akhir hayatnya kerana hampir kehilangan dua anaknya namun kuasa tuhan
mengembalikan mereka dalam keadaan selamat.
Pesara kerajaan negeri itu berkata kejadian tersebut berlaku sekelip
mata dan keadaan sangat kelam-kabut ketika itu dengan jeritan keluarga yang
masing-masing berteriak dan menangis kerana ada ahli keluarga meninggal dunia.
Dia berkata air laut naik mendadak dan hanya sempat menyelamatkan
seorang lagi anak perempuannya S. Kanchana yang berusia 12 tahun ketika itu.
"Saya dan isteri panik serta menanggis apabila dapati Thulaashi
hilang, kemudian kami diberitahu kami bayi kami berada di tengah laut manakala
Kanchana selamat dengan berpaut pada pokok pisang yang terletak kira-kira 10
meter dari kafe kami.
Suppiah berkata setiap kali tibanya 26 Dis saban tahun, dia dan keluarga
mengadakan upacara menolak bala dan sembahyang bagi mengenang mangsa yang
terkorban.
Sementara itu, Thulaasi yang kini berusia 20 tahun, berkata beliau
bersyukur kerana selamat dan sehingga hari ini sentiasa berdoa diberikan
kesihatan yang baik dan kehidupannya dirahmati tuhan.
"Saya mula mengetahui kisah tsunami yang diceritakan oleh bapa semasa
berumur lingkungan empat dan lima tahun," kata pelajar yang sedang
mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perakaunan di Universiti
Sains Malaysia (USM).
Beliau berkata upacara sembahyang juga menjadi amalan tahunan keluarga
dan akan melakukannya selagi hayat dikandung badan.
Thulaasi berkata beliau juga akan terus membantu di kafe milik
keluarganya di Pantai Miami itu kerana lokasi berkenaan menyimpan pelbagai
memori.
Ombak tsunami tercetus berikutan gempa bumi berukuran 9.3 pada skala
Richter di bawah dasar laut ke barat pulau Sumatera, Indonesia pada 26 Dis
2004, meragut lebih 200,000 nyawa di Indonesia, Thailand, India, Maldives dan
Sri Lanka.
Di Malaysia, Pulau Pinang antara negeri paling terjejas yang mencatatkan
52 daripada 68 kematian di seluruh negara.
Esok genap 20 tahun tragedi tsunami.
0 Comments