Kerabat diraja Pahang Yang Mulia Tengku Eddie Akasya Tengku
Abd Rahman mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencederakan seorang lelaki,
Alias Awang, pada bulan Jun lalu.
Beliau yang dituduh di Mahkamah Majistret Kuantan bersama
empat lagi individu termasuk seorang anggota polis, memohon untuk
dibicarakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Tengku Eddie yang baru
berusia 20 tahun bersama-sama menyerang dan mencederakan paha Alias menggunakan
pisau di kawasan lot tanah bangsal kuda, Jalan Teluk Sisek di Kuantan pada 6
Jun.
Alias mendakwa seorang rakan kerabat itu menikam pahanya
manakala Tengku Eddy pula menembak ke arah kakinya tetapi tersasar.
Serangan itu dikatakan berkaitan pertikaian isu tanah di
Rompin, yang dia terlibat dalam pembinaan jalan di situ.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh
boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda, disebat atau mana-mana
daripada dua hukuman itu.
Kes itu turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menggesa polis bertindak tegas
kerana tiada sesiapa yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja.
Latar Belakang Tengku
Eddie
Dilahirkan dalam keluarga diraja, Tengku Eddie merupakan anak kepada Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan isteri pertama beliau, YABhg. Che Puan Muda Che Puan Julita Aisyah binti Abdul Latiff.
Tengku Abdul Rahman pula merupakan adik kepada Sultan
Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan seorang yang
berjiwa sukan, berjiwa rakyat. Beliau telah memegang tampuk pimpinan Sri Pahang
FC sejak lebih dua dekad.
Manakala bapa saudaranya termasuklah Presiden kelab futsal
Pahang Rangers, YAM Tengku Fahad Mua’adzam Shah.
Tengku Eddie memiliki seorang kekanda, Yang Mulia Tengku
Ameera Asya serta dua orang adinda, iaitu Yang Mulia Tengku Ahmad Firhan Shah
dan Yang Mulia Tengku Armaan Alam Shah.
Terlibat dalam Muay Thai
Tengku Eddie bukan sahaja dikenali sebagai anggota keluarga
diraja, tetapi sepertimana kerabat Pahang lain, turut aktif terlibat di dalam
sukan menerusi penglibatannya di dalam Muay Thai.
Beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan ini
yang memerlukan disiplin tinggi serta kekuatan fizikal, sekaligus memberi
gambaran dirinya adalah seorang yang cukup kental dan berani.
Pada tahun 2020, Tengku Eddie pernah menyertai Kejohanan
TDH Muay Thai Superfight, yang menyaksikan 32 petinju bertanding.
Masih di dalam jagaan Ibu
Bapa
Sementara itu, dalam prosiding pada 7 November lepas, pihak
pendakwaan memohon jaminan RM10,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh.
Pihak
pendakwaan juga mencadangkan syarat tambahan supaya kesemua mereka melapor diri
di balai polis berdekatan setiap bulan dan
tidak menggangu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam bela Y Sheelan memohon minimum dalam
lingkungan RM5,000 terhadap Tengku Eddie Akasya atas alasan masih ditanggung
ibu bapa.
Majistret kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap
tertuduh dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan
dicadangkan pendakwaan.
11 Disember depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
0 Comments