"Akan Ada Lebih Banyak Bantuan Selepas BKC"...- Datuk Seri Ismail Sabri

"Akan Ada Lebih Banyak Bantuan Selepas BKC"...- Datuk Seri Ismail Sabri


Putrajaya - Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob semalam memberitahu selepas Bantuan Khas Covid-19 ini selesai diagihkan, akan ada lebih banyak bantuan daripada pihak kerajaan.


Terdahulu semasa sidang video bersama warga Bank Simpanan Nasional (BSN) di kediamannya di Petaling Jaya, BKC ini adalah bantuan bagi meringankan beban rakyat terksean akibat Covid-19 ini.


"Saya berharap proses pengagihan BKC ini oleh Kementerian Kewangan akan berlaku dengan semudahnya, tidak mahu ada yang tercicir dan lewat menerima", katanya.


Ismail Sabri yang masih menjalani kuarantin kendiri sejak 30 Ogos lepas selepas disahkan ada kontak rapat dengan pesakit covid-19 turut menasihatkan supaya BSn sentiasa mematuhi prosedur operasi standard bagi mencegah penularan wabak covid.


Turut serta dalam sidang video tersebut ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berada di BSN Putrajaya di sini dan Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah yang berada di BSN di Bera, Pahang.


“Semoga apa yang diberikan kerajaan hari ini, walaupun mungkin tidak begitu besar tetapi sekurang-kurangnya dapat bantu mengurangkan perbelanjaan ketika ini,” kata Ismail Sabri yang turut merujuk makluman Tengku Zafrul bahawa banyak lagi bantuan akan diberikan kepada rakyat.


Pada Rabu, Ismail Sabri mengumumkan BKC akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 Sept dan dijangka selesai pada 10 Sept, dengan dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.


BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).


Golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.


Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500). Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200); manakala kategori M40, isi rumah menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).


Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan mengagihkan pelbagai bentuk bantuan yang dirancang sehingga hujung tahun ini.


“Perdana Menteri bersetuju untuk teruskan bantuan-bantuan yang diumumkan,” katanya.


Antara bantuan yang akan diagihkan kerajaan ialah Bantuan Prihatin Rakyat fasa 3 berjumlah RM2.32 bilion yang akan disalurkan pada akhir bulan ini dan bantuan kehilangan pendapatan pada Oktober.


Mengenai proses pembayaran BKC di BSN Putrajaya, Tengku Zafrul berkata ia dikendalikan dengan baik oleh warga BSN.


Dalam catatan di laman Facebook rasminya, Ismail Sabri berkata beliau berpeluang meninjau secara maya proses pembayaran BKC fasa satu yang dilaksanakan secara berperingkat menerusi institusi kewangan terpilih melibatkan peruntukan RM3.1 bilion hari ini.


Katanya beliau berkesempatan bertanya khabar dengan penerima BKC di beberapa cawangan BSN termasuk di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis dan Johor secara dalam talian untuk memastikan proses pembayaran bantuan itu berjalan lancar.


Menurutnya, beliau juga mendapat laporan secara langsung daripada Tengku Zafrul yang turun padang meninjau sendiri proses pembayaran di BSN Putrajaya manakala timbalannya Mohd Shahar berada di BSN Triang, Pahang.


Ismail Sabri berkata beliau dimaklumkan Kementerian Kewangan akan mempermudahkan urusan pengagihan kepada masyarakat pedalaman dengan pembayaran tunai kepada penerima BKC yang tidak memiliki akaun.


“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ‘Keluarga Malaysia’ yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya

Post a Comment

0 Comments